Tazkirah
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
JAM
Message Box


Tazkirah
Bilangan Pengunjung
Bermula 10 Oktober 2007


Tetamu Sedang Online
hit counter
Al-Emanul Yaman wal Hikmatu Yamaniah
Saturday, July 28, 2007
PENGENALAN

Nama Rasmi:

Republik Yaman

Ibu Negara:
Sana’a - dengan kepadatan penduduk 900,000 orang dan 2,300m ketinggian dari paras laut.

Bandar-bandar Utama:
Hudaidah, Hadhramaut, Aden, Mukalla, Ta’iz, Ibb, Sa’adah, Maarib dan Sai’un.


Bahasa Rasmi:
Bahasa Arab. Bahasa Inggeris juga digunakan sebagai bahasa kedua terutama dalam urusan perniagaan.

Agama Rasmi:
Islam - Ahli Sunnah wa Jama’ah, terdapat juga Syi’ah Zaidiah terutama di kawasan Sana’a dan mempunyai empat mazhab yang masyhur.

Bilangan Penduduk:
16 juta orang dan pertambahan penduduk 3.34 %

Kerajaan dan Pentadbiran:
Berbentuk republik dan diketuai oleh Presiden Ali Abdullah Salleh serta dibantu oleh parlimen yang diketuai oleh Ketua Menteri . Yaman terdiri daripada 17 wilayah, setiap wilayah dibahagikan kepada beberapa daerah dan setiap daerah mempunyai beberapa zon. Wilayah- wilayah tersebut adalah Sana’a, Aden, Taiz, Hudaidah, Hadhramaut, Saadah, Jouf, Ma’rib, Mahra, Shabwah, Abyan, Baidha’, Zamar, Ibb, Lahaj, Mahwit dan Hajjah.

Mata Wang:
Riyal Yaman, nilai pertukaran RY 199. 5 = USD 1.00 pada Julai 2007 ( tertakhluk pada perubahan semasa).

Kedudukan Geografi:
Republik Yaman terletak di pinggir Barat –Daya Semenanjung Tanah Arab (Barat Daya Benua Asia ). Ianya berkedudukan di antara garis lintang 12 U – 20 U dan garis bujur 41 T – 54 T. Ianya juga bersempadan dengan Saudi Arabia di sebelah utara Laut Arab dan Teluk Aden di selatan, Kerajaan Oman di sebelah timur dan Laut Merah di sebelah barat.
Bentuk muka buminya terbahagi kepada lima bahagian: pergunungan, dataran tinggi, dataran pantai, gurun padang pasir dan kepulauan.

Masa:
Republik Yaman terletak di garis GMT +3 iaitu tiga jam lebih awal daripada Greenwich.

Keluasan:
555,000 km

Ketinggian:
Mencapai 3,700 m atau lebih 12,000 kaki dari paras laut

Cuaca:
Yaman dikategorikan dalam negara tiga musim ( panas, luruh dan sejuk). Kepelbagaian cuaca di Yaman lebih dipengaruhi oleh bentuk muka bumi dan paras ketinggian wilayah-wilayahnya.
Dalam musim sejuk, suhu dikawasan pengunugan mencatat -14 C hingga –15 C manakala kawasan persisiran pantai dan tanah rendah bersuhu sederhana sepanjang musim sejuk.
Pada musim panas suhu di kawasan pengunungan mencatat 19 C hingga 22 C.Manakala di kawasan persisiran pantai dan tanah rendah menjadi panas dan lembab mencapai 42 C hingga 45 C.
Musim luruh pula semua kawasan menerima hujan .

Peraturan Masuk:
Visa masuk ke Yaman boleh didapati dengan mudah daripada Konsul Yaman di negara tempat anda menetap dengan bayaran tertentu. Di negara yang tidak terdapat kedutaan Yaman, pelawat boleh mendapatkan visa transit untuk 96 hari –dengan kemungkinan di perbaharui- di pintu masuk.
Tempoh maksimum menetap adalah satu bulan. Bayaran visa bergantung kepada jenis visa dan kewarganegaraan.

Pintu Masuk:
Republik Yaman boleh dimasuki melalui lapangan terbang antarabangsa di Sana’a, Aden, Hudaidah, Rayan dan Taiz. Manakala pelabuhan pula melalui Hudaidah, Mokha- Laut Merah, Aden- Teluk Aden, Mukalla dan Nashtun- Laut Arab.



SEJARAH

Yaman juga dikenali dalam beberapa buah buku sejarah dengan beberapa nama. Ada juga buku geografi yang lama bertajuk ( Arab Felix ) di dalam lagenda lama Yaman juga dikenali sebagai negara selatan, Raja Saba’, Raja Selatan dan Raja Timna. Ada sesetengah pendapat perkataan Yaman diambil daripada seorang pemerintah seperti Aiman bin Yaarup bin Qahtan lagenda arab kuno. Ramai orang-orang arab mengatakan perkataan Yaman diambil dari perkataan Yamn ( rahmat, berkat dan makmur ) bersamaan dengan nama ( Arab Felix ) dan sesetengah pendapat mengklasifikasikan Yaman diambil dari “yumna” ( arab dari kanan Ka’abah ). Orang-orang dari timur mereka mengatakan ianya arah kehadapan yang kanan kepada arah yang betul. Sebabnya arah kanan merupakan satu simbol atau lambang kepada kejayaan dan keberuntungan. Sesetengah orang arab sendiri termasuk orang-orang Yaman beranggapan perkataan ‘al- Sham’ ialah utara dan ‘al- Yaman’ ialah selatan dan hari ini kita dapati Yaman dikenali sebagai Republik Yaman.

TEMPAT- TEMPAT MENARIK

SANA’A LAMA
Merupakan satu-satunya kota lama dan menjadi penempatan manusia yang dijumpai oleh Sam anak kepada nabi Nuh ‘Alaihis Salam. Sam telah datang ke Yaman dari utara untuk meninjau tempat-tempat untuk dibuat penempatan dan beliau juga telah memilih tempat mengikut halatuju mengikut seekor burung. Sehingga sekarang masih segar dengan gelaran Bandar Sam, semenjak 1984m UNESCO mengishtiharkan sebagai “ Warisan Manusia di Dunia” . Meninjau ke Kota Lama ada pelbagai aneka jualan, melawat ke Muzium Kebangsaan dan ianya merupakan suatu yang unik serta seni bina yang menakjubkan . Kota Sana’a Lama juga merupakan muzium yang hidup dengan kecantikan bandar ini meberi ilham kepada para penulis, penyair (penyajak), arkitek dan para pelancong.





WADI DHAHR
Masyarakat Sana’a menghabiskan masa lapang mereka di hujung minggu dengan menziarahi kawasan istana lama Imam ( pemerintahan Syiah) dan juga kebun buah- buahan. Ianya terletak kira- kira 12km dari bandar Sana’a. Pelancong juga berpeluang menziarahi kawasan dataran tinggi itu untuk menyaksikan tarian tradisional, istana dan bersiar-siar di sekitar kampung wadi tersebut.




Masjid Al- Janad:
Masjid ini terletak kira- kira 6 km dari utara Ta’iz,dan telah dibina semasa zaman baginda Nabi Muhammad S.A.W. oleh sahabatnya Mu’az bin Jabal . Masjid ini dan ‘Masjid Besar’yang terletak di Sana’a merupakan masjid tertua di Yaman yang dibina oleh para sahabat.

Shibam:
Terkenal dengan bangunan lama pencakar langit . Shibam juga dijumpai pada kurun ke-3, ianya merupakan ibu negeri bagi kerajaan kuno di Hadhramaut selepas jatuhnya bandar Syabwah dan merupakan sebuah bandar yang tiada bandingannya ianya diperbuat daripada tanah liat dan sangat mengagumkan dengan ukiran corak tingkap dan pintu yang diperbuat dari kayu. Kita dapat menggambarkan keunikkan bandar tersebut ketika mana matahari terbit dan terbenam. Para pelancung juga dialu-alukan dan digalakkan untuk bersama menikmati keindahan semulajadi.

Tarim:
Merupakan tempat menarik yang terletak di tengah-tengah Hadhramaut semenjak sepuluh abad yang lalu, ianya terdapat sebuah bandar yang unik dengan terdapat banyak masjid dan istana. Pelancong dialu-alukan menziarahi untuk melihat sendiri keistimewaa bandar tersebut. Kawasan ini juga ramai melahirkan ulama’- ulama’ yang terkenal pada zaman dahulu dan ulama’-ulama’ inilah yang menyampaikan Islam ke Malaysia melalui perdagangan. Di sini juga terdapat perpustakaan Ahqaf yang merupakan kesan peninggalan lama ulama’ terdahulu.

Mukalla:
Merupakan ibu kota Gabenor Hadhramaut suatu masa dahulu dan merupakan pusat perdagangan dan pelabuhan yang terletak di persisiran pantai Laut Hindi. Di sini kita dapati kesenian lama dengan pelbagai ukiran tingkap dan pintu. Tempat-tempat menarik di sepanjang pantai yang penuh ketenangan dan jauh dari kesibukan kota utama.

Aden:
Merupakan sebuah kota penempatan semenjak berzaman lagi. Lagenda mengatakan Cain dan Abel orang yang menjumpai Aden. Ianya juga menjadikan pelabuhan semulajadi dan menjadi sumber ekonomi untuk jangkamasa depan Yaman sendiri. Pelancong juga dialu-alukan untuk melawat tadahan air zaman lampau yang menganggumkan digelar takungan, istana sultan, masjid al-‘Idrus, rumah dari rimbaud dan kincir angin. Tak lupa juga persisiran pantai Mohur dan juga pusat membeli-belah. Aktiviti bagi memeriahkan pelancongan anda dengan melawat At-Taweela iaitu tempat pengumpulan sejarah. Mengikut ahli sejarah lembah ini adalah yang pertamanya di abad masihi sepanjang pemerintahan Himyari juga memiliki dua puluh juta gelen air terletak di kawasan tengah kampung Taweela.




Maarib:
Merupakan sebuah bandar yang terletak di permulaan padang pasir Rub al-Kali dan suatu masa dahulu merupakan pusat perintahan Saba’ yang di perintah oleh Ratu Balqis yang masih lagi terdapat kesan peninggalan sehingga kini seperti istana, tempat penyembahan, empangan Maarib dan sebagainya. Saba’ adalah ejaan Hebrew ( bangsa arab dan Yahudi) di Palestin dahulu kala. Di sinilah terletak gunung berapi yang tidak aktif yang berumur kira-kira 3000 tahun masihi dan di sini juga terdapat telaga-telaga minyak yang mana menjadi sumber pendapatan Yaman hari ini.




Suqatrah:
Ianya merupakan sebuah pulau yang terdapat di Yaman dan terletak di tenggara teluk Aden. Oleh kerana ianya sebuah pulau yang terletak di tengah-tengah laluan laut Asia dan Afrika ia terdedah kepada penjajahan. Penjajahan Portugis terhadap pulau ini pada tahun 1505m sehingga 1511m kerana tidak membuahkan sebarang hasil kemudian penguasaan British pada kurun ke sembilan belas sebelum penguasaan British terhadap Aden. Bahasa utama dalam pertuturan ialah bahasa tempatan iaitu bahasa kuno yang mempunyai asal-usul daripada pemerintahan Balqis manakala bahasa kedua pula bahasa Arab dan didapati juga bahasa Inggeris walaupun jarang didapati. Pulau ini juga merupakan tempat persinggahan yang penting bagi pengguna laluan ini pada suatu masa dahulu termasuklah pengguna daripada Tanah Melayu.-al-iman

‘Al-Emanul Yaman wal Hikmatu Yamaniah’
posted by ibnuruhuddin @ 3:10 PM   1 comments
Rukun perjalanan menuju Allah.
Friday, July 13, 2007
Rukun perjalanan menuju Allah, melalui ilmu dan zikir.

Sa'id Hawa menjelaskan bahawa perjalanan menuju Allah mempunyai dua rukun, iaitu ilmu dan zikir. Tanpa keduanya, tidak ada perjalanan menuju Allah SWT.

Ilmu adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekal perjalanan dan keperluan pendakian. Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah, petunjuk, bimbingan dan peringatan Allah SWT dan mengenali hikmatnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta mencapai hikmatnya, manakala kita berhajat kepada zikir agar Allah SWT bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.

Rukun pertama: Ilmu

Bukanlah menjadi satu keraguan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ilmu ialah ilmu tentang al-Qur'an dan al Sunnah serta ilmu tentang segala yang diperlukan oleh Salik (orang yang menuju pada jalan ALLAH) dalam perjalanannya menuju Allah SWT. Sekurang-kurangnya setiap salik mestilah melengkapkan dirinya dengan kesemua ilmu fardu 'ain, iaitu ilmu yang setiap muslim dituntut mempelajarinya.

Setiap muslim wajib mengetahui segala perbuatan yang wajib dilakukannya, agar ia tidak meninggalkannya; dan juga perbuatan yang haram dilakukannya, agar ia terhindar daripada melakukannya. Setiap perbuatan yang wajib dilakukan, maka mempelajari ilmunya juga menjadi wajib, Ini adalah kerana tanpa ilmu tentang sesuatu, maka seseorang tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu dengan betul, sesuai dengan kehendak syariat.

Imam Ghazali mengingatkan kita di dalam kitabnya Ihya Ulum Al-Din, bahawa di antara ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu mengenai jalan menuju ke akhirat. Apa yang dimaksud ilmu menuju jalan ke akhirat ialah ilmu cara membersihkan hati atau jiwa daripada sifat-sifat yang keji, yang tercela, yang dianggap sebagai kotoran yang menjadi penghalang daripada mengenali Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af'al atau perbuatan-perbuatanNya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan, ilmu dan pengajaran.

Ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan, dan ia terbahagi kepada adat dan ibadat.

Kedua: ilmu batin, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan hati atau jiwa, atau ilmu tentang sifat-sifat yang ada di dalam hati atau jiwa, yang juga terbahagi kepada yang terpuji dan tercela.
Sifat-sifat yang terpuji di dalam hati adalah seperti: sabar, syukur, takut, harap, redha, zuhud, taqwa, qana'ah (menerima dan berpuas hati dengan yang ada atau dengan apa yang Allah berikan), murah hati, ihsan, baik sangka, baik budi,baik pergaulan, jujur, ikhlas dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan taat dan ibadat kepada Allah SWT.

Adapun yang tercela daripadanya adalah seperti; dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila harta, gila kuasa, gila pengaruh, suka dipuji, sombong, riya', keras kepala, pemarah, benci, tamak kedekut, kufur ni'mat, mengagungkan orang kaya, bangga, ujub, nifaq (hipocracy),cintakan dunia, cinta harta, gopoh,lalai dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan ma'siat dan lain-lain perbuatan buruk atau keji, yang dilarang.

Ilmu tentang batasan segala sifat-sifat ini, sama ada yang terpuji ataupun yang tercela, hakikat, sebab-sebab, hasil atau natijahnya, cara memupuk, menanam, atau cara mengubati, membuang atau mengikis daripada sifat-sifat tercela, kesemuanya itu merupakan ilmu jalan akhirat; dan Imam Ghazali mengatakan bahawa ia merupakan ilmu fardu ain, mengikut fatwa ulama akhirat.

Rukun kedua: Zikir

Adapun yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwariskan atau dianjurkan, yang termasuk di dalam perintah Allah SWT dan RasulNya SAW.

Imam Nawawi di dalam kitabnya, Al-Adzkaar, telah menjelaskan pengertian zikir sebagai berikut:
"Ketahuilah bahawa fadilat zikir tidak terhad pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya, tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia termasuk orang yang berzikir kerana Allah Taala. Begitulah yang dikatakan oleh Sa'id Bin Jubair r.a. dan lain-lain ulama".

Ata' berkata: "Majlis-majlis zikir adalah majlis-majlis yang membincangkan masalah halal, haram, bagaimana anda membeli, menjual, solat, berpuasa, berkahwin, mentalak, haji dan yang seumpamanya". Beliau juga telah membawakan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam, kemudian keduanya solat dua rakaat, maka keduanya ditulis dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah". Maka kedua rukun berjalan menuju Allah menurut Sa'id Hawa adalah ilmu dan zikir; dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya.

Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa para salik yang menempuh jalan menuju Allah itu terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama lebih banyak melibatkan diri mereka kepada Allah SWT disamping tidak melalaikan tanggungjawab mereka dalam menuntut ilmu agama sebagaimana yang dituntut oleh syara'.

Manakala golongan yang kedua pula mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan bertungkus-lumus mendalami ilmu agama disamping tidak mengabaikan keperluan untuk berzikir. Akhirnya, mereka semua (insya Allah) akan sampai ke satu arah tuju yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.

Beliau menjelaskan bahawa pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat dan kemampuan atau kesanggupan manusia itu sendiri. Segolongan manusia, kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada, dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terhad dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar.

Jalan yang sesuai bagi golongan yang pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga disertai dengan zikir; dan jalan yang sesuai bagi golongan yang kedua adalah memperbanyak zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu. Daripada huraian tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa setiap manusia yang berjalan menuju Allah atau mencari keredhaan dan keampunan Allah, yang dengannya dicapai kebahagiaan akhirat dan terhindar daripada seksaan neraka, mestilah berusaha, selain mengisi masanya dengan melaksanakan tugas peribadatan yang telah ditetapkan, seperti solat lima waktu, puasa ramadan dan lain-lainnya, juga dengan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir. Ia mesti menjadikan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir ini sebagai agenda hariannya yang berterusan sepanjang hayat, kerana kedua-duanya merupakan ibadat yang sangat tinggi nilainya. Setiap salik mestilah berusaha menghindarkan diri daripada membazirkan masanya dengan sebarang perbuatan yang tidak ada manfaatnya seperti melepak di kedai-kedai kopi, berbual kosong dan kerja-kerja yang seumpamanya.

Di dalam sesuatu hadis, ada dinyatakan bahawa tanggungjawab pertama yang akan disoal ke atas setiap insan ialah tentang umurnya: di mana ia telah menghabiskannya? Di dalam surah al-'Asr Allah SWT telah menyatakan dengan bersumpah: "Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan (mengisi masanya dengan)beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Setiap salik mesti menentukan masa yang tetap setiap hari untuk menuntut ilmu dan berzikir: menetapkan masa tertentu untuk membaca al-Qur'an dan memahami maknanya. Mereka boleh merancang untuk mengkhatamkan Al-Qur'an setiap seminggu sekali, dua minggu sekali, sebulan sekali atau lain-lainnya, mengikut kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Perkara yang penting di sini ialah mereka menetapkan agenda yang tetap dan berterusan sepanjang hayat. Membaca Al-Qur'an adalah ibadat dan zikir, dan memahami kandungannya adalah ilmu yang paling tinggi nilainya.

Selain mempelajari Al-Qur'an, mereka juga mesti berusaha mempelajari ilmu-ilmu syari'at lainnya dengan membaca kitab-kitab agama, menghadiri kelas-kelas agama, ceramah-ceramah agama, atau mempelajari agama daripada guru-guru agama yang memberi bimbingan secara langsung kepada para pelajar atau murid-muridnya.

Menuntut ilmu dalam Islam merupakan ibadat yang dituntut dan tinggi nilainya. Ibnu 'Abd al-Bar telah meriwayatkan daripada Abu Dzarrin al-Ghiffari r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda; "Bahawa anda keluar di waktu pagi untuk mempelajari satu bab daripada ilmu adalah lebih baik daripada anda solat seratus rakaat".

Kita mesti menetapkan agenda harian yang tetap, dengan memperuntukkan masa tertentu yang mencukupi untuk menuntut ilmu serta membaca kitab-kitab ilmiyah. Di dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Agama adalah ilmu kerana ia berdiri di atas asas pemikiran, penyelidikan, menolak taklid buta dan bersandar kepada pembuktian yang meyakinkan, bukan kepada sangkaan dan mengikuti hawa nafsu.

Begitu juga ilmu dalam Islam, ianya adalah agama, kerana menuntutnya adalah diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimah sama ada sebagai fardu'ain atau fardu kifayah, dan bergiat dalam bidang ilmu yang bermanfaat, sama ada manfaat duniawi atau ukhrawi, dianggap sebagai ibadat dan jihad di jalan Allah.

Adapun zikir, maka ia merupakan amalan yang berterusan kerana, selain ia merupakan amalan tersendiri, ia juga boleh masuk ke dalam atau ke celah-celah amalan-amalan lain dan boleh mengisi setiap masa yang terluang dari sejak kita bangun dari tidur sehinggalah kita naik semula ke katil untuk tidur.

Perbekalan Rabbani Dalam Perjalanan: Taqwa, Muhasabah Diri dan Taubat.

Di dalam perjalanan yang panjang merentasi kehidupan di alam dunia, mencari keredhaan Allah SWT, supaya dapat memasuki alam barzakh dan alam akhirat dengan selamat, Rabbani berhajat kepada perbekalan, dan tidak ada perbekalan yang lebih baik daripada ketaqwaan. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah:197: "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (ketaqwaan); dan bertaqwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal".

Di dalam bab ini, saya ingin membicarakan tentang perbekalan yang mesti ada pada setiap rabbani dalam perjalanannya menuju Allah al-Rabb al-Jalil, sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT, iaitu taqwa atau ketaqwaan dan yang merupakan cawangan daripadanya, iaitu muhasabah diri dan taubat.-Dr m
posted by ibnuruhuddin @ 5:18 AM   0 comments
Salam Semua
Sunday, July 8, 2007
Salam Semua..........

Alhamdulillah, sayupan kesyukuran yang tertinggi dipulangkan kepada Sang Empunya tiap kejadian atas kurniaan nikmat yang tak terbilang hitungannya. Terutamanya nikmat Islam dan Iman, dan segalanya. Juga nikmat kelapangan masa kepada diri ini untuk aku turut serta menyusun tapak mula dalam gelanggang maya ini.

Hari ini aku mula mengatur langkah untuk bersama kalian dalam perjuangan mengagungkan kalimah Tauhid. Demikian citaku. Mengangkat serta mensucikan ajaran langit bersalurkan dunia cyber. Agar ia dapat dinobat ke persada singgahsana yang selayaknya.

Aku bermula dengan nawaitu yang jitu untuk bersama kalian dalam usaha menangkis serangan demi serangan yang berhujanan terhadap penganut kebenaran oleh para pendengki di alam siber ini. Aku juga ingin bersama kalian untuk cuba merentak fikiran sekian manusia ke arah kesatuan supaya dapat kita bersepadu. Kesepaduan melahirkan roh kekuatan. Agar menjadi teguh tatkala kita melangsaikan visi yang teragung itu. Sekali lagi syukurku kepada-Nya yang Esa dengan sedikit ruang berserta kekuatan semangat yang dianugerahkan oleh-Nya.

Selawat bersalut salam penuh kerinduan daku persembahkan buat insan sebaik ciptaan, Nabi Muhammad SAW. Ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat, seterusnya kepada seluruh penjunjung pusaka kebenaran peninggalan Baginda Rasulullah hingga ke hari besok.

Semoga aku dan kalian semua dapat menuruti likuan mereka dalam membawa pusaka tersebut. Itulah amanah yang sewajarnya kita perjuangkan. Tak kira di mana. Tidak kira sesiapa. Tidak juga mengira bagaimana. Asalkan tidak tergelincir dari landasan Tauhid yang sudah pun kita maklumi.

Sebelum kalam penyudah kata, aku sangat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu. Teman segelanggangku dari Al-Watary Geng’z, Ayub,sahabat-sahabat serumah, dan semua sahabat-sahabat yang berada dibumi hikmah Yaman ini. Tak lupa juga para sahabat yang berada di bumi anbiya’ Mesir. Kawan-kawan yang memberi pandangan, idea bernas, dan membantu dalam menjayakan misi ini, serta dorongan untuk aku merealisasikan kewujudan blog ini.

Lepas pada ini, sudilah sesiapa pun jua untuk berkata apa saja kepadaku bagi meneruskan perjuangan murni ini. Janganlah pula segan untuk menegur demi memperbaiki apa yang lemah dalam diri kita semua.

Ayuh kawan! Marilah sesama kita berpadu tenaga mengkaryakan minda demi meneruskan misi yang sedikit tertunggak ini (pinjam kata Dr. Mashitah Ibrahim). Bertindaklah apa yang terdaya. Salam perjuangan maya daripada aku buat semua...
posted by ibnuruhuddin @ 12:44 AM   0 comments
About Me




:: Nama::
ibnuruhuddin
:: Pengajian Sekarang::
Universiti Yamaniah, Sana'a, Yaman
:: Alamat Malaysia ::
Melaka, Malaysia
Previous Post
Archives
Links
Powered by
Permaya Online

BLOGGER
BOIKOT ISRAEL
© 2006 ibnuruhuddin .Template by .::ibnuruhuddin::.