Tazkirah
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
JAM
Message Box


Tazkirah
Bilangan Pengunjung
Bermula 10 Oktober 2007


Tetamu Sedang Online
hit counter
Kami Bersamamu Palestin
Wednesday, January 7, 2009


Seminggu yang lalu semasa mendirikan solat Maghrib di Masjid Hamzah berdekatan Universiti Al-Iman, pada rakaat akhir itu imam berdoa qunut nazilah selepas bangkit dari rukuk. Beliau mendoakan agar Allah memberikan kesejahteraan kepada kaum muslimin di Gaza, memberikan kekuatan kepada golongan mujahidin yang sedang berjihad di sana, semoga Allah menetapkan pendirian mereka dan mendatangkan bantuan kemenangan kepada mereka. Dalam doa itu juga beliau mendoakan agar Allah membalas kejahatan orang-orang Yahudi yang menceroboh, merampas dan berbuat zalim serta Allah menghancurkan mereka serta sesiapa jua yang bersekutu dan membantu mereka.

Selesai solat itu, kutipan derma jihad diumumkan untuk membantu umat Islam di Gaza. Seorang jemaah masjid bangun lalu berucap tentang kewajipan umat menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara mereka di Gaza. Saya masih tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku ketika itu. Kemudian saya menaiki kenderaan ke kawasan bandar lalu solat Isyak di Masjid Al-Ansar. Pada rakaat akhir, imam masjid di situ juga membaca doa qunut nazilah dan kali ini lebih panjang. Selesai solat, seorang pemimpin masyarakat bangun lalu berucap dengan suara yang lantang menyampaikan laporan berita ketika itu tentang serangan udara Israel yang baru sahaja berlaku di mana lebih 30 missile telah dilancarkan dan mengorbankan lebih 200 penduduk awam Gaza serta mencederakan beratus-ratus yang lain. Sumber dari Israel menyatakan bahawa serangan tersebut adalah untuk menghapuskan para pejuang HAMAS dan bukan meletakkan sasaran untuk mencederakan orang awam.

Kutipan derma jihad terus dilakukan setelah itu sambil beliau mengumumkan perhimpunan rakyat Yaman pada keesokan harinya di Stadium Sana’a.

Keesokan paginya pula, satu SMS dihantar oleh syarikat telekomunikasi Sabafon kepada semua pelanggannya tentang perhimpunan tersebut yang bermula jam 9 pagi. Kebetulan saya perlu ke universiti kerana ada kuliah. Sesampai di sana para pelajar dari semua fakulti sedang berkumpul dengan kain rentang yang pelbagai slogan dan kecaman terhadap negara Israel. Bas-bas kepunyaan universiti juga kelihatan beratur bersedia untuk membawa mereka ke stadium. Di dewan kuliah, tiada seorang pelajar pun kelihatan. Pejabat pendaftar juga ditutup dan tiada sebarang urusan boleh dibuat pagi itu. Semasa menuruni anak tangga, saya bertemu dengan pensyarah dan beliau akhirnya membatalkan pengajian pada hari tersebut.

Saya mengumpulkan beberapa rakan di asrama pelajar berdekatan lalu mengajak mereka menyertai perhimpunan tersebut. Sepanjang perjalanan, kami dapati banyak kedai-kedai yang ditutup. Sampai kami di sana, suasana hingar bingar menguasai kompleks sukan itu. Kami berarak bersama orang ramai mencari pintu masuk tetapi hampa kerana kesemuanya sesak. Sangka kami tentu ruang di dalam sudah padat. Akhirnya setelah kami melakukan ‘tawaf’ mengelilingi stadium tersebut, kami berjaya juga masuk melalui salah satu pintu. Ternyata masih ada ruang di kawasan tengah stadium. Satu ruang dikhususkan untuk golongan muslimat. Dianggarkan para hadirin yang berada di dalam stadium pada pagi itu melebihi 10,000 orang.

Di tengah-tengah kawasan stadium, kelihatan golongan remaja Arab ke hulu ke hilir memikul replika roket dan peluru berpandu. Para pelajar sekolah juga kelihatan turut serta dalam perhimpunan itu. Acara dimulakan dengan ucapan beberapa orang pemimpin parti pemerintah. Saya berasa mual dengan ucapan-ucapan yang sarat dengan unsur-unsur perkauman Arab. Suasana agak hambar sehinggalah diumumkan Syeikh Abdul Majid Al-Zindani berucap. Laungan takbir bergema secara tiba-tiba lalu menarik perhatian para hadirin untuk mendengar ucapan beliau.

Syeikh Al-Zindani dalam ucapannya menyebut bahawa seluruh lapisan masyarakat Yaman daripada pihak pemerintah dan rakyat bersatu dalam isu Palestin mengutuk tindakan Israel terhadap penduduk Gaza. Ini satu isyarat jelas kepada pemerintah Israel. Kemudian beliau menyeru para pemimpin Arab dan dunia Islam agar menyatukan saf dan menegaskan bahawa mereka tidak menerima tindakan Mesir menutup sempadan Rafah. Beliau juga menegaskan bahawa Presiden Republik Arab Mesir, Hosni Mobarak turut sama terlibat dalam pembunuhan penduduk Gaza.

Beliau menyeru para pemerintah supaya menggesa PBB mengambil tindakan terhadap Israel yang telah mengisytiharkan perang secara terbuka terhadap Gaza. Seterusnya Syeikh Al-Zindani menyeru para ulama Islam supaya mengeluarkan fatwa secara bersepakat tentang perbuatan golongan yang membantu Israel menekan penduduk Gaza adalah haram di sisi Islam. Agar seluruh dunia mengetahuinya. Beliau juga memberi amaran agar jangan ada mana-mana pihak yang menghalang bantuan rakyat Yaman ke Gaza yang akan dihantar dengan kapal melalui terusan Suez.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada negara Qatar yang telah berjaya menghantarkan bantuan kemanusiaan mereka dan memberitahu para hadirin bahawa Qatar sedang bersiap sedia untuk mengirimkan bantuan kedua. Syeikh Al-Zindani menggesa negara-negara yang lain agar menurut langkah yang telah dilakukan ini. Akhir sekali, beliau menyeru agar para khatib seluruh masjid di Sana’a agar mengutarakan isu ini dalam khutbah Jumaat serta mengumpulkan derma-derma dan bantuan untuk dihantar ke Gaza dalam masa terdekat. Majlis berakhir kira-kira jam 11.35 pagi.

Sejak minggu lalu, doa qunut nazilah dibaca di semua masjid dalam solat lima waktu sehingga tulisan ini tersiar dan akan berterusan selama sebulan. Saya termenung sendirian memegang dahi sambil bertanya kepada diri sendiri, “Bagaimanakah keadaan kaum muslimin di negaraku? Adakah mereka sedang mendoakan umat Islam di Gaza dan seluruh Palestin? Sekurang-kurangnya adakah mereka mengambil tahu tentang serangan terbaru ini?”

Ya Allah! Ampunkanlah kelemahan kami, berikanlah kesedaran kepada kami, dan bangkitkanlah orang-orang yang akan berjihad daripada kalangan kami. Amin.......


www.permaya.org

posted by ibnuruhuddin @ 2:51 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
About Me




:: Nama::
ibnuruhuddin
:: Pengajian Sekarang::
Universiti Yamaniah, Sana'a, Yaman
:: Alamat Malaysia ::
Melaka, Malaysia
Previous Post
Archives
Links
Powered by
Permaya Online

BLOGGER
BOIKOT ISRAEL
© 2006 ibnuruhuddin .Template by .::ibnuruhuddin::.