Tazkirah
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
JAM
Message Box


Tazkirah
Bilangan Pengunjung
Bermula 10 Oktober 2007


Tetamu Sedang Online
hit counter
Tazkirah Ramadhan
Friday, September 28, 2007

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita di kalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
(Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil). [Al-Baqarah: 185]

Ramadhan datang lagi dan ia pasti akan berlalu meninggalkan kita. Itulah sunnatullah ke atas makhluk-Nya, tiada yang kekal kecuali Allah, Pencipta Yang Maha Berkuasa. Risalah ini merupakan sebagai satu tazkirah untuk kita semua tentang beberapa kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan serta apakah amalan yang sepatutnya kita muatkan sepanjang bulan yang mulia ini. Mungkin ada di kalangan kita tidak menyedari kelebihan yang terdapat pada bulan yang mulia ini, juga tidak mengetahui bagaimanakah para ulama’ serta orang-orang soleh terdahulu (salafuss-soleh) menyambut bulan yang mulia ini. Semoga ianya menjadi panduan dan pencetus semangat untuk sama-sama kita beramal dengan sebaik-baiknya.Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:·

Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
·
Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.·


Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan.·

Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan.·

Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.·

Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan.
Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.·

Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.·

Pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.


Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ialah;

1) Berpuasa
:Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu]

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk mengubati sebahagian penyakit seperti masalah kegemukan. Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran dan sebagainya.

2) Ramadhan dan membaca al-Quran:Fatimah az-Zahra’ radhiallahu’anha menceritakan Nabi Muhammad SAW memberitahunya bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Ulama’-ulama’ salaf bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tiga malam, sebahagian mereka setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh sepuluh hari sekali. Mereka membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan ketika di dalam solat dan juga di luar solat.An-Nakha’ie rahimahullah mengkhatamkan bacaan al-Quran dua hari sekali pada sepuluh hari yang terakhir.

Qatadah rahimahullah pula kebiasaanya mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu, tetapi ketika datang Ramadhan beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap tiga hari dan akan khatam pada setiap malam menjelang sepuluh akhir Ramadhan. Imam asy-Syafie rahimahullah akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar solat.

Apabila masuk bulan Ramadhan Imam az-Zuhri rahimahullah akan berkata: “Sesungguhnya ia adalah bulan membaca al-Quran dan memberi makanan.” Berkata Abdul Razak rahimahullah: “Sufian ath-Thauri, apabila masuk bulan Ramadhan beliau akan meninggalkan semua ibadah dan menumpukan perhatiannya kepada membaca al-Quran.”

Ibnu Rajab rahimahullah berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat”. Ini adalah pendapat Imam Ahmad dan Ishak serta imam-imam yang lain.

3) Qiyamullail:Bagi seorang mu’min apabila berada pada bulan Ramadhan ia akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya.
Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga disisi ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Firman Allah SWT yang bermaksud: {Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka...}. [Al-Furqan: 63-64].

Qiyamullail adalah kebiasaan Nabi SAW dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. Sayyidatina Aisyah radhiallahu’anha pernah berkata: “Jangan kamu tinggalkan Qiyamullail. Rasullullah SAW tidak pernah meninggalkannya, dan apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda solat sambil duduk.” [HR: Abu Daud].

Umar al-Khattab radhiallahu’anhu (ra) akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata: “Solah, solah!” (bangun untuk bersolat). Lalu beliau membaca ayat al-Quran ini: Maksudnya: {Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa}. [Toha: 132].

As-Sa’ib bin Zaid berkata: “Dahulu seseorang qari (imam) akan membaca beratus-ratus ayat sehinggakan kami bertongkat di atas tongkat disebabkan terlalu lama berdiri, dan mereka menamatkan solat ketika hampir subuh.”

*Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).

Abi Zar ra meriwayatkan Nabi SAW bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda SAW: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” [HR: At-Tirmizi, sahih].

Imam Ahmad rahimahullah mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga imam beredar dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata sebahagian ulama’ salaf: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”

4) Bersedekah:Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan… dan Baginda SAW lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].

Ibnu Rajab berkata, Imam asy-Syafie telah berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW, kerana pada ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana ramai manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.Rasulullah SAW telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya: Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadhan”. [HR: At-Tirmizi, dhaif].

a. Memberi makan:

Firman Allah SWT: Maksudnya: {Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. (Mereka berkata:) Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.} [Al-Insan: 8-12].

Para ulama’ salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain. Ianya samada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun menjamu kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang faqir.
Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”. Bangun seorang a’rabi (orang kampung) bertanya: Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi SAW: “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi, hasan].

Para ulama’ salaf ini juga (antaranya ialah al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak rahimahumallah) memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani, berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.

Hammad bin Sulaiman rahimahullah akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang pada bulan Ramadhan dan dia akan memberikan kepada setiap orang dari mereka 100 dirham ketika Hari Raya.

Abu as-Siwar al-’Adawi rahimahullah berkata: “Terdapat seorang lelaki dari bani ‘Adi yang selalu bersolat di masjid ini, mereka tidak pernah berbuka puasa dan makan sendirian. Sekiranya terdapat orang untuk makan bersama dia akan makan, jika tidak dia akan membawa makanannya ke masjid dan makan bersama-sama orang ramai.” Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi.” [HR: Al-Bukhari].

Ia juga akan melahirkan majlis para solihin, yang mengharapkan pahala dengan kerjasama mereka di atas ketaatan, yang dikuatkan dengan makanan yang disedekahkan tadi.

b. Memberi makan (berbuka) orang yang berpuasa:
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.” [HR: At-Tirmizi, sahih].

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarkanlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].

Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa dan kesilapan, menghalang dari neraka Jahanam dan lebih-lebih lagi jika disertakan dengan Qiyamullail.

Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.” [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah, sahih].

5) Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta:
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” [HR: Al-Bukhari].

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” [HR: Muslim]

Sayyidina Ali bin Abi Thalib ra berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan, kebatiIan dan perkara yang sia-sia”.

Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu”.

Abu al-‘Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap dalam ibadatnya selagi mana dia tidak melakukan Ghibah”.

Rahsia di sebalik larangan-Iarangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana Bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. la adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardhu untuk melakukan perkara-perkara sunat, apakah natijahnya? Hukum puasanya itu tetap sah mengikut pendapat majoriti ulama’ dan dia tidak perlu menggantikannya, kerana sesuatu amalan itu hanyalah terbatal dengan melakukan perkara-perkara khas yang membatalkannya sahaja, cuma hasilnya…. wallahua’lam.

6) Doa, Zikir dan Istighfar:Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
·
Ketika hampir waktu berbuka. Nabi SAW menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR: At-Tirmizi, sahih]·

Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa, maka aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari & Muslim].·

Memohon keampunan Allah ketika waktu sahur. Firman Allah SWT yang bermaksud: {Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan}. [Az-Zariyat:18].

Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang sahih menjelaskannya.

7) Umrah pada bulan Ramadhan:Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Satu umrah pada bulan Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji”. Dalam riwayat yang lain: “Menyamai satu haji bersamaku”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]
-aam
posted by ibnuruhuddin @ 3:18 PM   0 comments
Marhaban Ya Ramadhan
Tuesday, September 11, 2007
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
posted by ibnuruhuddin @ 3:56 AM   2 comments
Apakah Itu Iman dan Dua Kalimah Syahadah (bahagian 2)

Takrif Iman

Al-Iman daripada segi bahasa Arab bermaksud:
‘Membenarkan’ ( at-Tasdiq )

Manakala daripada segi syarak bermakna: Membenarkan Rasul (Muhammad) r pada perkara-perkara yang disampaikan oleh Baginda, mentaati segala perintahnya, menahan diri daripada perkara-perkara yang dilarang dan ditegahnya. Iman adalah kata-kata, amalan dan iktikad ; (iaitu) kata-kata yang dilafazkan dengan lidah, iktikad (keyakinan) di dalam hati dan beramal dengan rukun-rukunnya. Iman boleh bertambah dan berkurang, ianya bertambah dengan melakukan (ibadah) ketaatan dan berkurang dengan melakukan maksiat dan dosa-dosa
[2]
Terdapat banyak sebab-sebab yang dapat menguatkan dan menambahkan Iman. Dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa Iman itu dapat bertambah. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna Imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah Iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."
(Al-Anfal: 2)

Di sana juga terdapat sebab-sebab yang dapat melemahkan dan mengurangkan Iman. Dinyatakan di dalam hadis Sabda Nabi :


"Tidaklah seorang penzina itu ketika ia sedang berzina sedangkan dia beriman, dan tidaklah seseorang yang meminum khamar (arak) ketika dia sedang minum sedangkan dia beriman, dan tidaklah seseorang yang mencuri ketika dia sedang mencuri sedangkan dia beriman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)[3]

Akidah Ahli Sunnah tidak mengkafirkan orang-orang fasiq yang melakukan maksiat sama ada kecil atau besar maksiat yang dilakukannya melainkan syirik. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.."
(An-Nisa: 48)


Kepentingan Dua Kalimah Syahadah

Barang siapa yang mengucapkan Dua Kalimah Syahadah iaitu:
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”

Maka dia layak untuk memasuki Jannah (Syurga) dan diharamkan Neraka ke atasnya atau dia tidak akan kekal di dalamnya selagi mana ada sebutir Iman dalam hatinya.

"Sabda Rasulullah yang bermaksud :
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah, tidaklah seorang hamba bertemu Allah dengan keduanya tanpa rasa syak pada keduanya (kalimah syahadah) itu melainkan dia memasuki al-Jannah (Syurga).
(Hadis riwayat Imam Muslim)[4]

Rasulullah bersabda:
Barang siapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, (maka) Allah mengharamkan Neraka terhadapnya.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)[5]

Terdapat banyak hadis-hadis lain yang menerangkan bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan tauhid dan beriman dengan Dua Kalimah Syahadah layak untuk memasuki al-Jannah (Syurga) dan walau pun dia pernah melakukan dosa dan maksiat tanpa sempat bertaubat, ia tidak akan kekal dalam Neraka.


‘Pintu Masuk’ kepada Islam

Imam Muslim meriwayatkan dalam hadis Jibril yang masyhur bahawa Rasulullah telah ditanya tentang Islam:


(Mafhumnya): ..dan dia (Jibril ) telah bertanya:
"Wahai! Muhammad, khabarkanlah kepadaku tentang Islam. Maka Rasulullah r telah menjawab: “Islam (adalah) engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu pergi kepadanya.”
(Hadis riwayat Imam Muslim).[6]

Barang siapa yang bersaksi dengan (Dua Kalimah Syahadah):

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah”

Maka dia dikira sebagai seorang Muslim dari segi hukum syarak. Lalu perlulah dia diberitahu akan kewajipan mendirikan solat lima waktu, membayar zakat apabila cukup syarat-syaratnya, berpuasa pada bulan Ramadan dan pergi menunaikan manasik (ibadat) haji ke Baitullah al-Haram di Makkah sekiranya berkemampuan.
Kebanyakan individu di kalangan umat Islam pada hari ini menyangka bahawa sudah cukup dan memadailah dengan hanya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, maka mereka sudah dikira sebagai Muslim tanpa perlu mengerjakan amalan-amalan fardu yang telah ditetapkan. Tanggapan ini tentunya satu salah faham dalam memahami tuntutan rukun Islam kerana hadis di atas menerangkan bahawa penyaksian dengan dua kalimah syahadah tadi perlu diikuti dengan kepatuhan melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardu.
Barang siapa yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah disebut di atas, maka dia adalah seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, maka wajiblah ke atas kaum Muslimin untuk memelihara kehormatannya, hartanya dan darah (nyawa)nya.


Daripada Abu Malik daripada ayahnya, ia telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang berkata (bersaksi) – 'Tiada tuhan melainkan Allah' dan ia kufur dengan apa yang disembah selain daripada Allah, (maka) haram (terpeliharalah) harta dan darahnya. Perhitungannya adalah di atas ketentuan Allah."
(Hadis riwayat Imam Muslim).[7]

Islam Tanpa Iman

Adakah diterima Islam seseorang tanpa disertai dengan Iman? Sesungguhnya telah sabit di dalam al-Quran bahawa seseorang itu dikira sah Islamnya tanpa disertai Iman (yang teguh) sebagaimana firman Allah yang maksudnya:


"Orang-orang "A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: `kami telah Islam'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-Hujurat: 14)

Juga telah sabit daripada as-Sunnah bahawa terdapat perbezaan di antara seorang Muslim dan Mukmin:

Daripada Sa’ad Radiyallahu'anhu (ia berkata) bahawa Rasulullah telah memberi (harta) kepada satu kumpulan lelaki dan Sa’ad sedang duduk, lalu Rasulullah r meninggalkan (tidak memberi kepada) seorang lelaki yang aku kagumi ia (daripada kumpulan tersebut). Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apa yang tidak kena engkau dengan si fulan? Demi Allah! Sesungguhnya aku melihat akan dia itu seorang Mukmin. Lalu Baginda bersabda: “Atau pun (dia) seorang Muslim”. Lalu aku diam seketika. Kemudian pengetahuanku tentang dia mendesak aku untuk mengulangi pertanyaanku. Kemudian Baginda mengulangi (jawapannya), kemudian Baginda bersabda: “Wahai Sa’ad! Sesungguhnya (sekiranya) aku memberi kepada lelaki tadi sedangkan orang lain lebih aku sukai daripadanya (untuk diberikan pemberian), kerana takut Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)[8]

Hadis di atas memberi pengertian bahawa terdapat perbezaan di antara seorang Mukmin dan Muslim. Keengganan Rasulullah r untuk memberikan harta kepada seseorang itu berdasarkan kemampuannya untuk menerima ujian Allah. Ada kala seseorang lelaki boleh menjadi kufur apabila dibentangkan kepadanya harta benda dunia dan begitu juga sebaliknya seseorang itu boleh menjadi kufur apabila diuji dengan kemiskinan dan kefakiran.
Hanya yang menjadi kayu pengukur dalam masalah ini adalah tingkatan Iman seseorang hamba kepada Tuhannya.- UPP PERMAYA (bersambung)
___________________
[1] Al-Mu’jam al-Wasith, Cetakan Kedua 1392 H / 1972 M, Kaherah.
[2] Dalil al-Muslim al-’Aqadiy (hal. 9), Syeikh al-Amin al-Hajj Muhammad Ahmad, Institute of Arabic Language, International University of Africa, Khartoum, Republic of The Sudan.
[3] Lafaz Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Mazholim wal-Ghasb (Hadis no. 2295).
Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.86)
[4] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.39)
[5] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.42)
[6] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.9).
[7] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.34).
[8] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman (Hadis no.26)
posted by ibnuruhuddin @ 2:59 AM   0 comments
About Me




:: Nama::
ibnuruhuddin
:: Pengajian Sekarang::
Universiti Yamaniah, Sana'a, Yaman
:: Alamat Malaysia ::
Melaka, Malaysia
Previous Post
Archives
Links
Powered by
Permaya Online

BLOGGER
BOIKOT ISRAEL
© 2006 ibnuruhuddin .Template by .::ibnuruhuddin::.