Tazkirah
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
JAM
Message Box


Tazkirah
Bilangan Pengunjung
Bermula 10 Oktober 2007


Tetamu Sedang Online
hit counter
Beriman Pada Waktu Pagi dan Menjadi Kafir Pada Waktu Petang (bahagian 1)
Sunday, August 19, 2007

Firman Allah Yang Bermaksud:
( ...dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)." (Al-Baqarah : 217)

Firman Allah Lagi Yang Bermaksud:
("Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi."
(Ali Imran : 85)

Dinyatakan Didalam Hadis Sahih:

Daripada Abu Hurairah, bahawa sesungguhnya Rasulullah r
telah bersabda (mafhumnya): “Bersegeralah dengan melakukan amal-amal! Sebelum berlaku fitnah seperti kegelapan akhir malam yang gelita, (di mana) seorang lelaki itu beriman pada waktu pagi dan menjadi kafir pada waktu petang atau ia beriman pada waktu petang dan menjadi kafir pada waktu pagi. Dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.” (Hadis riwayat Imam Muslim)[1]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman menyedari bahawa pada hari ini kita sedang menjalani kehidupan sebagaimana yang tergambar dalam hadis di atas. Sama ada kita suka atau pun tidak, kita perlu mengakui hakikat bahawa masyarakat kita sedang hidup dalam kegelapan dan kesamaran akidah seperti kepekatan akhir malam yang gelap gelita.

Pada hari ini kita menjalani kehidupan dalam suasana fitnah dan ujian yang begitu dahsyat terhadap keimanan di mana kebanyakan insan tidak lagi mengenali agama mereka melainkan hanya dengan sangkaan-sangkaan bahawa mereka mengetahui. Sesiapa sahaja boleh mengaku diri sebagai Muslim dan Mukmin, sedangkan mereka telah jelas melanggar garis sempadan yang memisahkan di antara wilayah Iman dan kufur.

Dalam satu keadaan yang lain pula, kebanyakan Muslim terlalu memberi tumpuan dan penekanan pada perkara-perkara hukum-hakam dalam fikah secara terlalu terperinci dan cabang terutamanya di tanah air kita, Malaysia. Iaitulah dalam perincian yang berkaitan dengan perkara-perkara yang merosakkan serta membatalkan solat, wuduk, puasa dan seumpamanya.
Saya tidaklah bermaksud bahawa perkara-perkara tersebut tidak perlu dipelajari oleh setiap mukallaf[2] daripada kaum Muslimin untuk mempelajarinya, bahkan ianya adalah termasuk dalam perkara-perkara fardu ain yang wajib dipelajari.

Sememangnya menjadi satu keperluan bagi setiap Muslim untuk memahami secara mendalam berkenaan hukum-hakam berkaitan ibadat dan muamalat yang mana diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada mereka terlalu mengambil berat pada perkara-perkara tersebut secara terperinci dan berhati-hati dengan melampau sehingga mereka menyangka bahawa ianya ditaklifkan ke atas sekalian hamba-hamba Allah. Sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa kebanyakan masalah-masalah fikah yang furuk (cabang) tersebut adalah termasuk dalam perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama-ulama mazhab.

Sekiranya diperhatikan, hanya sebilangan kecil daripada kaum Muslimin yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memahami dalam masalah-masalah akidah dan iman iaitu perkara-perkara yang berkaitan dengan rukun Iman dan perincian makna Dua Kalimah Syahadah secara mendasar. Hanya segelintir sahaja yang menganggap ianya sebagai tonggak keyakinan dan ‘pintu masuk’ kepada agama Islam.

Sebagaimana yang selayaknya bagi orang yang beribadat dan bermuamalat perlu mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wuduk, solat serta merosakkan puasa juga perkara-perkara yang berkaitan dengan sah atau batalnya akad nikah-kahwin, talak, jual-beli, perniagaan, penyewaan, pajak-gadai dan seumpamanya, begitulah juga sepatutnya kita mendalami perkara-perkara yang berkaitan dengan Iman dan akidah Islam agar kita tidak tergelincir atau terpesong dari jalan yang lurus.

Jika sekiranya kita mengetahui bahawasanya solat, puasa dan ibadat-ibadat yang lain boleh terbatal dan menjadi tidak sah dengan perkara-perkara yang membatalkannya, maka begitulah juga dengan Dua Kalimah Syahadah dan Iman seseorang. Iman juga boleh terbatal sebagaimana terlucutnya pakaian seseorang dari tubuhnya.
Bagaimanakah Iman seseorang itu dapat bertahan dan adakah seseorang Mukmin itu boleh bertukar menjadi kafir? Persoalan seperti ini jarang sekali diberi perhatian.

Ketahuilah wahai saudara-saudariku!!!!
Bahawa kebanyakan insan tidak lagi meneliti terhadap apa yang diperkatakan oleh lidah mereka, tidak memperhatikan apa yang dilakukan oleh anggota tubuh mereka dan tidak memperhalusi apa yang diiktikadkan dalam hati mereka! Apakah ianya benar atau salah! Adakah ianya hak atau batil! Kebanyakan insan tersungkur dalam masalah akidah ini berpunca daripada kejahilan mereka, semoga Allah mengampunkan hamba-hambaNya yang jahil dan memberikan kepada mereka peluang untuk bertaubat dan menuntut ilmu pengetahuan yang sahih. Sedangkan bagi mereka yang terus-menerus ingkar dan memalingkan diri mereka daripada kebenaran, kepada Allah jualah terserah urusan mereka pada hari Akhirat!

Perlu diingatkan bahawa bukanlah mudah untuk kita menuduh seseorang itu sebagai kafir atau murtad. Sekiranya seseorang itu melakukan perbuatan-perbuatan atau mengeluarkan perkataan-perkataan atau beriktikad dalam hatinya dengan apa sahaja yang bercanggah dengan Iman yang sahih, sedangkan dia seorang yang jahil, maka tidak boleh dihukumkan dia sebagai kafir atau murtad tetapi hendaklah ditegakkan hujah kepadanya, dihuraikan kekusutan, kekeliruan dan keraguan dalam hatinya dengan hujah-hujah yang jelas daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Sekiranya dia masih ingkar dan tetap dengan pendirian kufurnya, maka pihak-pihak yang berautoriti seperti majlis agama, mufti dan sebagainya boleh mengisytiharkan dan menghukumkannya sebagai kafir atau murtad.

Sebelum itu, terlebih dahulu kita perlu mengetahui berkenaan takrif iman dan rukun-rukun Iman secara ringkas sebelum membicarakan perkara-perkara yang membatalkannya.
-UPP PERMAYA (bersambung)
_______________

[1] Sahih Muslim, kitab Al-Iman (No. Hadis: 169) .

[2] Mukallaf: Orang yang akil baligh dan Islam.
posted by ibnuruhuddin @ 12:44 PM   2 comments
Sebab Berlakunya Syirik Di Muka Bumi
Saturday, August 4, 2007

Kata Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh A.S”. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237].Punca kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini.

SEBAB BERLAKUNYA SYIRIK DI MUKA BUMI

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: {Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan diantara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.} [Al-Baqarah : 213].

Al-Hafiz Ibnu Kathir RH telah mengambil riwayat Ibnu Abbas R.A ketika menafsirkan ayat ini. Kata Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh A.S”. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237].

Punca kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini. Sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran:{Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa', yaghuts, ya'uq dan nasra" (nama-nama berhala)}. [Nuh: 23].

Imam Bukhari RH meriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A katanya: ”Lima berhala tersebut, wadd, suwa', yaghuts, ya'uq dan Nasra) ialah nama orang-orang yang soleh di kalangan kaum nabi Nuh A.S. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan mengajar (memujuk) kaumnya agar mereka membuat patung-patung yang menyerupai orang soleh tadi, kemudian diletakkan dimajlis tempat yang mereka biasa duduk semasa hayatnya dan meletakkan nama patung itu seperti nama tuan asalnya.

Maka pengikut orang soleh itu melaksanakan ajaran syaitan tersebut. Apabila golongan yang membuat patung tadi telah meninggal dunia dan datang pula generasi lain yang tidak mengetahui asal-usul kejadian patung tersebut, lalu mereka pun turut ikut menyembahnya.Imam Ibnu Kathir juga menyebut kisah ini sedemikian. Riwayat lain ada menceritakan tujuan para pengikut itu mengukir patung pada awalnya kerana mereka takut pegangan agama mereka menjadi lemah, lalu mereka mengukir patung-patung syeikh tersebut untuk mengingati kembali ajaran dan amalannya.

Apabila mereka melihat patung syeikh mereka, akan bertambah kuat semangat untuk beribadat. Pada peringkat awalnya mereka tidak menyembahnya, tetapi setelah berlalunya masa yang lama, mereka mula membesarkan dan menghormatinya dengan sepenuh hati mereka.

Waktu yang panjang berlalu, orang-orang alim dikalangan mereka telah meninggal dunia, maka syaitan mengajar lagi: ”Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kamu tidak mengukir patung-patung syeikh mereka kecuali untuk meminta syafaat (pertolongan) melaluinya kepada Allah.” Maka bermulalah sejarah penyembahan berhala, tuhan yang lain selain daripada Allah SWT.Lalu selepas itu Allah SWT mengutus nabi Nuh A.S untuk mengembalikan mereka kepada agama datuk mereka nabi Adam A.S. Semasa berlakunya taufan pada zaman nabi Nuh A.S, kesemua patung-patung yang disembah tersebut telah ditenggelamkan ke dalam perut bumi.

Mereka yang diselamatkan Allah SWT dari taufan tersebut, meneruskan hidup di atas muka bumi dengan agama yang benar selama beberapa waktu.Manakala orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama yang diajar oleh nabi Ibrahim A.S ialah Amru bin Luhai, iaitu ketua golongan suku Khuza’ah. Beliau adalah seorang tukang nujum yang bersahabat dengan jin. Melalui petunjuk dari jin itu, beliau telah mengeluarkan berhala-berhala yang tersembunyi di dalam tanah di Jeddah.

Kemudian beliau menyeru bangsa Arab pada musim haji supaya menyembah berhala dan meninggalkan ajaran nabi Ibrahim A.S. Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: ((Aku melihat Amru bin Amir bin Luhai al-Khuza’i menarik isi perutnya di dalam neraka)) [HR Muslim].

Ini kerana dialah orang yang mula-mula merubah perjalanan agama nabi Ismail A.S dengan penyembahan berhala. Demikianlah bahayanya apabila berlaku pemujaan di dalam masyarakat samada memuja harta benda, pangkat dan sebagainya. Begitu juga dengan perbuatan memuja pemimpin lebih daripada yang sepatutnya. Perkara tersebut akhirnya akan membawa kemusnahan dan bala bencana kepada umat dan masyarakat sebagaimana yang berlaku ke atas kaum nabi Nuh A.S dahulu.Allah SWT telah memberi amaran kepada ahli kitab dengan firman-Nya yang bermaksud: {Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu (dengan membesarkan nabi Isa sehingga mereka menganggapnya sebagai anak tuhan). Dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya.} [An-Nisa’: 171].

Kerana itu jugalah Rasulullah SAW bersabda memberi amaran kepada umatnya, sebagimana riwayat Sayyidina Umar Al-Khattab R.A, maksudnya: ((Janganlah kamu terlalu memujaku (sehingga melampaui had sebagai seorang nabi dan rasul kepada darjat ketuhanan dengan mengetahui perkara ghaib dan sebagainya) sebagaimana kaum Nasrani memuja nabi Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya. )) [HR Bukhari dan Muslim].

Demikanlah amaran dan tegahan Rasulullah SAW akan perbuatan memuja dan memuji manusia lebih daripada sepatutnya dengan membuat pelbagai gelaran dan anggapan. Ini akhirnya boleh merosakkan diri orang yang dipuja puji itu sendiri.Marilah kita sama-sama merenung kembali kepada perjalanan dan landasan yang kita lalui di dalam urusan agama kita (i’tikad). Semoga semua amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.

Akhirnya sama-samalah kita perhatikan kepada firman Allah SWT yang menggariskan apakah bentuk ajaran atau dakwah yang dibawa oleh semua nabi-nabi dan rasul-rasul A.S, melalui firman-Nya yang bermaksud: {Dan sungguhnya kami telah mengutuskan Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu".} [An-Nahl: 36].

Perkataan thaghut membawa banyak erti dan maksudnya sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama’ Islam; ialah umum untuk semua benda (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) yang disembah dan dipuja selain daripada Allah SWT. Di antara asas atau tonggak kepada taghut ialah:

1) Syaitan yang menyeru untuk beribadat kepada tuhan selain daripada Allah SWT.

2) Pemerintah yang zalim yang telah merubah hukuman yang diturunkan oleh Allah.

3) Golongan yang menjalankan hukuman perundangan selain daripada hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.

4) Orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi selain daripada Allah SWT.

5) Golongan yang disembah selain daripada Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) dan ia suka serta redha dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya itu.Inilah di antara tafsir atau makna ’taghut’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut.

Demikianlah betapa pentingnya peranan rasul-rasul A.S untuk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja. Kita juga mestilah menolak semua jenis taghut kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT yang bermaksud: {...sesiapa yang mengkufurkan (menentang dan menghancurkan) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan tali Allah yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.} [Al-Baqarah: 256]. Sekian.-aam
posted by ibnuruhuddin @ 12:32 AM   0 comments
About Me




:: Nama::
ibnuruhuddin
:: Pengajian Sekarang::
Universiti Yamaniah, Sana'a, Yaman
:: Alamat Malaysia ::
Melaka, Malaysia
Previous Post
Archives
Links
Powered by
Permaya Online

BLOGGER
BOIKOT ISRAEL
© 2006 ibnuruhuddin .Template by .::ibnuruhuddin::.