Takrif Iman
Al-Iman daripada segi bahasa Arab bermaksud: ‘Membenarkan’ ( at-Tasdiq )
Manakala daripada segi syarak bermakna: Membenarkan Rasul (Muhammad) r pada perkara-perkara yang disampaikan oleh Baginda, mentaati segala perintahnya, menahan diri daripada perkara-perkara yang dilarang dan ditegahnya. Iman adalah kata-kata, amalan dan iktikad ; (iaitu) kata-kata yang dilafazkan dengan lidah, iktikad (keyakinan) di dalam hati dan beramal dengan rukun-rukunnya. Iman boleh bertambah dan berkurang, ianya bertambah dengan melakukan (ibadah) ketaatan dan berkurang dengan melakukan maksiat dan dosa-dosa [2]Terdapat banyak sebab-sebab yang dapat menguatkan dan menambahkan Iman. Dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa Iman itu dapat bertambah. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna Imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah Iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Al-Anfal: 2)
Di sana juga terdapat sebab-sebab yang dapat melemahkan dan mengurangkan Iman. Dinyatakan di dalam hadis Sabda Nabi :
"Tidaklah seorang penzina itu ketika ia sedang berzina sedangkan dia beriman, dan tidaklah seseorang yang meminum khamar (arak) ketika dia sedang minum sedangkan dia beriman, dan tidaklah seseorang yang mencuri ketika dia sedang mencuri sedangkan dia beriman." ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim) [3]
Akidah Ahli Sunnah tidak mengkafirkan orang-orang fasiq yang melakukan maksiat sama ada kecil atau besar maksiat yang dilakukannya melainkan syirik. Firman Allah yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.." (An-Nisa: 48)
Kepentingan Dua Kalimah Syahadah
Barang siapa yang mengucapkan Dua Kalimah Syahadah iaitu: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”
Maka dia layak untuk memasuki Jannah (Syurga) dan diharamkan Neraka ke atasnya atau dia tidak akan kekal di dalamnya selagi mana ada sebutir Iman dalam hatinya.
"Sabda Rasulullah yang bermaksud : “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah, tidaklah seorang hamba bertemu Allah dengan keduanya tanpa rasa syak pada keduanya (kalimah syahadah) itu melainkan dia memasuki al-Jannah (Syurga).” ( Hadis riwayat Imam Muslim) [4]Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, (maka) Allah mengharamkan Neraka terhadapnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim) [5]
Terdapat banyak hadis-hadis lain yang menerangkan bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan tauhid dan beriman dengan Dua Kalimah Syahadah layak untuk memasuki al-Jannah (Syurga) dan walau pun dia pernah melakukan dosa dan maksiat tanpa sempat bertaubat, ia tidak akan kekal dalam Neraka. ‘Pintu Masuk’ kepada Islam
Imam Muslim meriwayatkan dalam hadis Jibril yang masyhur bahawa Rasulullah telah ditanya tentang Islam:
(Mafhumnya): ..dan dia (Jibril ) telah bertanya: "Wahai! Muhammad, khabarkanlah kepadaku tentang Islam. Maka Rasulullah r telah menjawab: “Islam (adalah) engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu pergi kepadanya.” ( Hadis riwayat Imam Muslim). [6]
Barang siapa yang bersaksi dengan (Dua Kalimah Syahadah): “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah”
Maka dia dikira sebagai seorang Muslim dari segi hukum syarak. Lalu perlulah dia diberitahu akan kewajipan mendirikan solat lima waktu, membayar zakat apabila cukup syarat-syaratnya, berpuasa pada bulan Ramadan dan pergi menunaikan manasik (ibadat) haji ke Baitullah al-Haram di Makkah sekiranya berkemampuan. Kebanyakan individu di kalangan umat Islam pada hari ini menyangka bahawa sudah cukup dan memadailah dengan hanya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, maka mereka sudah dikira sebagai Muslim tanpa perlu mengerjakan amalan-amalan fardu yang telah ditetapkan. Tanggapan ini tentunya satu salah faham dalam memahami tuntutan rukun Islam kerana hadis di atas menerangkan bahawa penyaksian dengan dua kalimah syahadah tadi perlu diikuti dengan kepatuhan melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardu.
Barang siapa yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah disebut di atas, maka dia adalah seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, maka wajiblah ke atas kaum Muslimin untuk memelihara kehormatannya, hartanya dan darah (nyawa)nya.
Daripada Abu Malik daripada ayahnya, ia telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang berkata (bersaksi) – 'Tiada tuhan melainkan Allah' dan ia kufur dengan apa yang disembah selain daripada Allah, (maka) haram (terpeliharalah) harta dan darahnya. Perhitungannya adalah di atas ketentuan Allah." ( Hadis riwayat Imam Muslim). [7]Islam Tanpa Iman
Adakah diterima Islam seseorang tanpa disertai dengan Iman? Sesungguhnya telah sabit di dalam al-Quran bahawa seseorang itu dikira sah Islamnya tanpa disertai Iman (yang teguh) sebagaimana firman Allah yang maksudnya:
"Orang-orang "A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: `kami telah Islam'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat: 14)
Juga telah sabit daripada as-Sunnah bahawa terdapat perbezaan di antara seorang Muslim dan Mukmin:
Daripada Sa’ad Radiyallahu'anhu (ia berkata) bahawa Rasulullah telah memberi (harta) kepada satu kumpulan lelaki dan Sa’ad sedang duduk, lalu Rasulullah r meninggalkan (tidak memberi kepada) seorang lelaki yang aku kagumi ia (daripada kumpulan tersebut). Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apa yang tidak kena engkau dengan si fulan? Demi Allah! Sesungguhnya aku melihat akan dia itu seorang Mukmin. Lalu Baginda bersabda: “Atau pun (dia) seorang Muslim”. Lalu aku diam seketika. Kemudian pengetahuanku tentang dia mendesak aku untuk mengulangi pertanyaanku. Kemudian Baginda mengulangi (jawapannya), kemudian Baginda bersabda: “Wahai Sa’ad! Sesungguhnya (sekiranya) aku memberi kepada lelaki tadi sedangkan orang lain lebih aku sukai daripadanya (untuk diberikan pemberian), kerana takut Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka.” ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari) [8]Hadis di atas memberi pengertian bahawa terdapat perbezaan di antara seorang Mukmin dan Muslim. Keengganan Rasulullah r untuk memberikan harta kepada seseorang itu berdasarkan kemampuannya untuk menerima ujian Allah. Ada kala seseorang lelaki boleh menjadi kufur apabila dibentangkan kepadanya harta benda dunia dan begitu juga sebaliknya seseorang itu boleh menjadi kufur apabila diuji dengan kemiskinan dan kefakiran. Hanya yang menjadi kayu pengukur dalam masalah ini adalah tingkatan Iman seseorang hamba kepada Tuhannya.- UPP PERMAYA (bersambung) ___________________
[1] Al-Mu’jam al-Wasith, Cetakan Kedua 1392 H / 1972 M, Kaherah. [2] Dalil al-Muslim al-’Aqadiy (hal. 9), Syeikh al-Amin al-Hajj Muhammad Ahmad, Institute of Arabic Language, International University of Africa, Khartoum, Republic of The Sudan. [3] Lafaz Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Mazholim wal-Ghasb (Hadis no. 2295). Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.86) [4] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.39) [5] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.42) [6] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.9). [7] Sahih Muslim, kitab al-Iman (Hadis no.34). [8] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman (Hadis no.26) |