Firman Allah Yang Bermaksud:
(
...dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)."
(Al-Baqarah : 217)
Firman Allah Lagi Yang Bermaksud:
("Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi."
(Ali Imran : 85)
Dinyatakan Didalam Hadis Sahih:Daripada Abu Hurairah, bahawa sesungguhnya Rasulullah r
telah bersabda (mafhumnya): “Bersegeralah dengan melakukan amal-amal! Sebelum berlaku fitnah seperti kegelapan akhir malam yang gelita, (di mana) seorang lelaki itu beriman pada waktu pagi dan menjadi kafir pada waktu petang atau ia beriman pada waktu petang dan menjadi kafir pada waktu pagi. Dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)[1]Sesungguhnya orang-orang yang beriman menyedari bahawa pada hari ini kita sedang menjalani kehidupan sebagaimana yang tergambar dalam hadis di atas. Sama ada kita suka atau pun tidak, kita perlu mengakui hakikat bahawa masyarakat kita sedang hidup dalam kegelapan dan kesamaran akidah seperti kepekatan akhir malam yang gelap gelita.
Pada hari ini kita menjalani kehidupan dalam suasana fitnah dan ujian yang begitu dahsyat terhadap keimanan di mana kebanyakan insan tidak lagi mengenali agama mereka melainkan hanya dengan sangkaan-sangkaan bahawa mereka mengetahui. Sesiapa sahaja boleh mengaku diri sebagai Muslim dan Mukmin, sedangkan mereka telah jelas melanggar garis sempadan yang memisahkan di antara wilayah Iman dan kufur.
Dalam satu keadaan yang lain pula, kebanyakan Muslim terlalu memberi tumpuan dan penekanan pada perkara-perkara hukum-hakam dalam fikah secara terlalu terperinci dan cabang terutamanya di tanah air kita, Malaysia. Iaitulah dalam perincian yang berkaitan dengan perkara-perkara yang merosakkan serta membatalkan solat, wuduk, puasa dan seumpamanya.
Saya tidaklah bermaksud bahawa perkara-perkara tersebut tidak perlu dipelajari oleh setiap mukallaf
[2] daripada kaum Muslimin untuk mempelajarinya, bahkan ianya adalah termasuk dalam perkara-perkara fardu ain yang wajib dipelajari.
Sememangnya menjadi satu keperluan bagi setiap Muslim untuk memahami secara mendalam berkenaan hukum-hakam berkaitan ibadat dan muamalat yang mana diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada mereka terlalu mengambil berat pada perkara-perkara tersebut secara terperinci dan berhati-hati dengan melampau sehingga mereka menyangka bahawa ianya ditaklifkan ke atas sekalian hamba-hamba Allah. Sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa kebanyakan masalah-masalah fikah yang furuk (cabang) tersebut adalah termasuk dalam perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama-ulama mazhab.
Sekiranya diperhatikan, hanya sebilangan kecil daripada kaum Muslimin yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memahami dalam masalah-masalah akidah dan iman iaitu perkara-perkara yang berkaitan dengan rukun Iman dan perincian makna Dua Kalimah Syahadah secara mendasar. Hanya segelintir sahaja yang menganggap ianya sebagai tonggak keyakinan dan ‘pintu masuk’ kepada agama Islam.
Sebagaimana yang selayaknya bagi orang yang beribadat dan bermuamalat perlu mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wuduk, solat serta merosakkan puasa juga perkara-perkara yang berkaitan dengan sah atau batalnya akad nikah-kahwin, talak, jual-beli, perniagaan, penyewaan, pajak-gadai dan seumpamanya, begitulah juga sepatutnya kita mendalami perkara-perkara yang berkaitan dengan Iman dan akidah Islam agar kita tidak tergelincir atau terpesong dari jalan yang lurus.
Jika sekiranya kita mengetahui bahawasanya solat, puasa dan ibadat-ibadat yang lain boleh terbatal dan menjadi tidak sah dengan perkara-perkara yang membatalkannya, maka begitulah juga dengan Dua Kalimah Syahadah dan Iman seseorang. Iman juga boleh terbatal sebagaimana terlucutnya pakaian seseorang dari tubuhnya.
Bagaimanakah Iman seseorang itu dapat bertahan dan adakah seseorang Mukmin itu boleh bertukar menjadi kafir? Persoalan seperti ini jarang sekali diberi perhatian.
Ketahuilah wahai saudara-saudariku!!!!Bahawa kebanyakan insan tidak lagi meneliti terhadap apa yang diperkatakan oleh lidah mereka, tidak memperhatikan apa yang dilakukan oleh anggota tubuh mereka dan tidak memperhalusi apa yang diiktikadkan dalam hati mereka! Apakah ianya benar atau salah! Adakah ianya hak atau batil! Kebanyakan insan tersungkur dalam masalah akidah ini berpunca daripada kejahilan mereka, semoga Allah mengampunkan hamba-hambaNya yang jahil dan memberikan kepada mereka peluang untuk bertaubat dan menuntut ilmu pengetahuan yang sahih. Sedangkan bagi mereka yang terus-menerus ingkar dan memalingkan diri mereka daripada kebenaran, kepada Allah jualah terserah urusan mereka pada hari Akhirat!
Perlu diingatkan bahawa bukanlah mudah untuk kita menuduh seseorang itu sebagai kafir atau murtad. Sekiranya seseorang itu melakukan perbuatan-perbuatan atau mengeluarkan perkataan-perkataan atau beriktikad dalam hatinya dengan apa sahaja yang bercanggah dengan Iman yang sahih, sedangkan dia seorang yang jahil, maka tidak boleh dihukumkan dia sebagai kafir atau murtad tetapi hendaklah ditegakkan hujah kepadanya, dihuraikan kekusutan, kekeliruan dan keraguan dalam hatinya dengan hujah-hujah yang jelas daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Sekiranya dia masih ingkar dan tetap dengan pendirian kufurnya, maka pihak-pihak yang berautoriti seperti majlis agama, mufti dan sebagainya boleh mengisytiharkan dan menghukumkannya sebagai kafir atau murtad.
Sebelum itu, terlebih dahulu kita perlu mengetahui berkenaan takrif iman dan rukun-rukun Iman secara ringkas sebelum membicarakan perkara-perkara yang membatalkannya.