Tazkirah
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
JAM
Message Box


Tazkirah
Bilangan Pengunjung
Bermula 10 Oktober 2007


Tetamu Sedang Online
hit counter
Kenyataan Rasmi Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA)
Thursday, June 10, 2010

Photobucket



Assalamualaikum w.b.t

Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) memandang serius terhadap kenyataan yang telah disiarkan di dalam akhbar-akhbar berkenaan dengan isu penangkapan 2 orang pelajar Malaysia di Yaman. Oleh yang demikian pihak kami ingin menegaskan bahawa :-


01. Pihak kami menafikan dengan sekeras-kerasnya penglibatan para pelajar Malaysia di Yaman dengan rangkaian Al-Qaeda atau pun mana-mana pertubuhan pengganas.

02. Secara jelasnya tujuan mereka datang ke bumi Yaman adalah untuk mempelajari bahasa arab, dan ditangkap atas dasar tiada permit untuk keluar dari Sana’a bukannya seperti khabar angin yang di gembar gemburkan oleh mana-mana pihak.

03. Mereka yang terlibat tidak berdaftar dengan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman dan pihak kami tidak mempunyai sebarang maklumat lengkap mengenai mereka.

04. Maklumat lengkap berkenaan kes ini belum lengkap, oleh yang demikian pihak kami mengharapkan agar tidak ada spekulasi rambang tanpa merujuk dahulu kepada pihak Kedutaan Malaysia di Yaman dan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA).

Sekian, terima kasih.


Yang berusaha,

Megat Firdaus bin Megat Basri
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2010 / 2011

www.permaya.org
posted by ibnuruhuddin @ 9:53 AM   0 comments
Ucaptama Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERMAYA
Sunday, May 3, 2009

UCAPTAMA PRESIDEN

SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

PERMAYA KALI KE-12

Yang dihormati saudara pengerusi majlis, yang diraikan Y.Bhg Tuan Hj. Abdul Samad b. Othman (Duta Besar Malaysia ke Yaman), dif-dif kehormat, kakitangan kedutaan, sahabat-sahabat seperjuangan dari barisan Exco sesi 2008/2009, Pengarah Mesyuarat Agung Tahunan pada kali ini serta ahli jawatankuasanya, seterusnya para ahli PERMAYA, ikhwah dan akhawat yang dihormati lagi dikasihi sekalian.


PENDAHULUAN


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah SWT sekalian,


Sama-samalah kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah yang mana dengan keizinan dan inayah-Nya jua, Mesyuarat Agung Tahunan kita pada hari ini dapat direalisasikan.

Secara peribadi, tiada kata secantik bahasa yang dapat saya utuskan bagi menggambarkan rasa berterima kasih saya kepada rakan-rakan seperjuangan sekalian. Saya juga berasa begitu berbesar hati melihatkan sokongan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh insan-insan di hadapan mata saya pada hari ini, yang mana saya pasti matlamat kalian hanyalah satu; iaitu meraih keredhaan Allah SWT.

Dalam kita berukhuwwah dan bermahabbah, marilah kita bersama-sama menyemak dan menilai kembali prestasi, pencapaian dan hasil kerja kita pada tahun lalu. Sama-samalah kita mencari ruang untuk memperkemaskan lagi langkah perjalanan kita yang destinasinya masih jauh di hadapan. Sambil bermuhasabah, kesempatan ini juga akan sama-sama kita manfaatkan bagi meletakkan asas, arah dan agenda organisasi PERMAYA yang amat kita sayangi ini pada tahun-tahun mendatang.

Kita mantapkan segala strategi pengoperasian kita agar visi yang dicita-citakan dapat dicapai dalam tempoh waktu lebih awal dari yang telah kita sasarkan.

Selain itu, dalam keriangan dan kehangatan ukhuwwah ini, jangan sekali-kali kita alpa untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara Islam kita yang ditimpa ujian yang getir dari Allah Jalla wa 'Alaa. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berterusan untuk mendepani pahit maung dalam menongkah liku perjuangan ini.


PERMAYA HINGGA KINI


Sidang mesyuarat yang dikasihi Allah SWT.


Pada hari ini kita sama-sama dapat merasai nikmat berpersatuan. Di mana batu asas Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) telah diletakkan pada tanggal 31 Disember 1997 bersamaan 1 Ramadan 1418H. Berkat usaha gigih kekanda-kekanda kita yang terdahulu, maka PERMAYA kini telah menjangkau 12 tahun.

Selama tempoh usia tersebut PERMAYA telah menghadapi pelbagai liku-liku perjuangan, pahit manis yang dihadapi, suka duka yang dikecapi bersama. Bermula daripada kelompok yang kecil hinggalah terus berkembang kukuh di bumi bertuah ini.

Kini PERMAYA telah sampai usia matang dalam meneruskan perjuangannya. Maka menjadi kewajipan kita bersama yang bernaung di bawah bumbung persatuan ini untuk memelihara dan meneruskan perjuangan kekanda-kekanda kita yang terdahulu. Mereka telah mencurahkan segala tenaga dan usaha mereka untuk menjayakan persatuan ini.

Ada di kalangan mereka yang meneruskan perjuangannya di tanah air dan ada juga di kalangan mereka yang telah dipanggil untuk menghadap Allah SWT seperti al-Marhum Ustaz Azamiruddin bin Awang (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya). Firman Allah SWT:

)مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ

مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً (

Yang bermaksud: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun”. (Al-Ahzab: 23)


Semoga kita semua tergolong di dalam kelompok yang Allah SWT sebutkan pada ayat ini. Insya Allah. Oleh itu, janganlah kita mensia-siakan perjuangan serta penat-lelah yang telah dicurahkan oleh mereka yang terdahulu. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menggerakkan PERMAYA agar terus maju ke hadapan seiring dengan perjuangan kita menimba ilmu Ilahi di bumi iman dan hikmah ini.


KEPENTINGAN BERPERSATUAN


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah SWT sekelian.


Kepentingan berpersatuan merupakan satu wasilah untuk menyatukan umat agar bernaung di bawah satu wadah ISLAM yang syumul. Ayuh wahai mahasiswa Islam! Kita bersatu di bawah satu naungan iaitu PERMAYA. Kita adalah mahasiswa yang menjadi cerminan negara pada masa hadapan.

Persatuan adalah simbol asas kesatuan. Seandainya ada mahasiswa yang menafikan asas ini, bermakna mahasiswa sudah kehilangan asas untuk membentuk keperibadiannya dari sudut idealisme.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawasanya peranan utama PERMAYA adalah untuk menggerakkan mahasiswa di Yaman dan memperkasakan ukhuwwah di kalangan kita. Semangat berpersatuan haruslah digarap dan dijayakan oleh seluruh mahasiswa di Yaman, agar kesatuan ini terus terpelihara. Semoga mahasiswa Islam Malaysia yang berada di bumi iman dan hikmah ini terus bersatu dalam membina agenda masa depan negara. Kita umpama satu tubuh yang cacat jika dipisahkan.

Ayuh mahasiswa! Kita kembali kepada asas kesatuan; teguhkan akidah dan kukuhkan ukhuwah dalam satu badan iaitu PERMAYA.

Kita adalah generasi pemimpin Islam pada masa hadapan, kesatuan di antara kita harus dibina dari awal agar kita dapat kekal bersatu demi agenda Islam apabila berada di bumi pertiwi kelak. Asas kesatuan ini hanya dapat dipupuk dengan seluruh mahasiswa berdiri teguh di dalam satu persatuan dalam memperkasakan ukhuwwah dan membina ummah.


PERMAYA DAN KEDUTAAN


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah SWT sekelian,


Hubungan erat yang terjalin di antara PERMAYA dan Kedutaan Besar Malaysia di Yaman diharapkan agar terus mekar dan subur di bumi iman dan hikmah ini. Agar kepentingan mahasiswa dan rakyat Malaysia di Yaman ini terus terpelihara kebajikannya. Ucapan terima kasih kepada pihak kedutaan di atas kerjasama yang diberikan. Teruskanlah memberi bimbangan serta nasihat kepada kami anak-anak Malaysia di bumi Yaman.


MEMPERKUKUHKAN UKHUWWAH, MEMPERKASAKAN KESATUAN


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah SWT sekelian


Setelah sekelian lama PERMAYA mendukung asas persaudaraan atas dasar keimanan sebagaimana firman Allah SWT:

( إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ )

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”(Al-Hujurat: 10)


Maka asas memperkasakan ukhuwwah dan kesatuan ini dilaksanakan melalui setiap program PERMAYA yang melibatkan seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia. Kita kembali kepada asas ukhuwwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj dengan satu gelaran iaitu golongan Ansar. Mereka yang pernah berseteru beratus tahun lamanya, dapat disatukan dengan asas keimanan.

Akhirnya Rasulullah SAW mempersaudarakan pula kaum Muhajirin dan Ansar, lalu membentuk satu ketumbukan Islam yang kuat asas akidah, ukhuwwah dan kesatuannya. Sunnah kesatuan ini diteruskan oleh para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in, yang mengangkat panji-panji Islam di serata dunia.

Sebagaimana yang kita ketahui, objektif utama penubuhan PERMAYA adalah untuk mengeratkan silaturahim di kalangan mahasiswa Malaysia di bawah satu bumbung persatuan. Objektif ini menjadi tidak bermakna sekiranya asas yang diletakkan ini dipandang ringan oleh para mahasiswa Islam. Diharapkan kecaknaan terhadap asas yang dibina ini dapat direalisasikan secara bersungguh-sungguh dalam persatuan yang kita kasihi.


PERMAYA DAN UMMAH


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah SWT sekelian,


Sepanjang sesi 2008-2009, pelbagai aktiviti telah mewarnai layar PERMAYA pada kali ini. Program-program yang dilaksanakan ini menjadi tidak bernilai sekiranya para mahasiswa tidak menghayati objektif-objektif yang telah disasarkan. Nilai utamanya adalah ukhuwwah yang sebenar-benarnya atas dasar berkasih sayang kerana Allah.

Sepanjang sesi ini, kita telah diberi penghormatan untuk menghadiri pelbagai persidangan yang dianjurkan di Timur Tengah untuk membincangkan solusi bagi permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam pada masa ini.

Ini merupakan sebahagian sumbangan PERMAYA kepada ummah. Di antaranya kita telah menghadiri Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia (PERMIS) yang berlangsung di Kaherah, Mesir (2008) dan Perhimpunan Mahasiswa Islam Seluruh Jordan (PERTAMA) di Yarmouk (2009). Dalam persidangan ini, kita membentang beberapa kertas kerja yang mencadangkan solusi terhadap permasalahan yang dihadapi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Kita mahu persatuan yang kita sama-sama dukungi ini bukan sahaja menggerakkan mahasiswa di bumi Yaman, malah menyumbangkan idea-idea yang bernas dalam berperanan kepada ummah. Cita-cita kita adalah agar PERMAYA mampu melahirkan pemimpin bertaraf global yang mampu memberikan manfaat kepada dunia Islam dan umat manusia seluruhnya.

Kita adalah mahasiswa yang menjadi tunjang kesatuan Islam yang memangkin ke arah kebangkitan ummah. Kitalah generasi yang akan mengorbankan harta dan nyawa agar kalimah Allah menjadi tinggi semula dan Islam kembali dijulang di puncak kegemilangan.


PEMERKASAAN AKADEMIK


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah SWT sekelian,


Dalam menjayakan misi perubahan dunia yang bertunjangkan Islam ini, semestinya ia tidak dapat dipisahkan dengan ilmu pengetahuan. Melihat situasi ummah pada masa ini, kita sepatutnya bermuhasabah kembali. Ini kerana usaha kita terlalu sedikit dalam membudayakan ilmu sedangkan kita berada di lembah dan lubuk ilmu-ilmu syariat.

Kita harus melahirkan ahli-ahli PERMAYA yang cemerlang dalam pelajarannya serta terpuji sahsiahnya. Kita seharusnya memberikan tumpuan kepada pengajian secara bersungguh-sungguh kerana tujuan utama kehadiran kita ke bumi iman dan hikmah ini adalah bagi memperdalamkan pengetahuan dalam ilmu-ilmu agama untuk disebarkan kepada seluruh ummah. Penumpuan terhadap kehadiran ke kuliah dan pembelajaran yang bersistem perlu diberi perhatian selain pengajian talaqqi di luar dewan kuliah.

Amatlah malang sekiranya ada di kalangan kita yang tidak melazimi walaupun hanya satu pengajian secara talaqqi. Bagaimana budaya ilmu ini boleh hidup dalam PERMAYA seandainya tiada usaha dibuat ke arah tersebut.


AL-WALA’ DAN AMAL JAMA’IE YANG UTUH


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah SWT sekelian,


Al-Wala’ adalah suatu konsep ketaatan yang sangat penting dalam Islam. Ianya merupakan akar umbi dan asas di dalam akidah Islam. Justeru ianya adalah tuntutan daripada keimanan bagi setiap hamba yang mengucapkan dua kalimah syahadah - cinta dan benci kerana Allah.

Konsep ini juga, menjadi semangat kekitaan yang menentukan jati diri dan identiti bagi keperibadian diri seorang muslim. Seterusnya seorang muslim itu merasa bangga dan mulia untuk hidup dan mati kerananya. Konsep ini menentu golongan manakah yang wajib diberikan hak keistimewaaan; rasa kecintaan dan saling bantu-membantu.

Konsep ini menjadi syarat kemenangan bagi Islam dan jalan keluar dari krisis yang menimpa ummah. Kebangkitan ummah yang hakiki hanya menjadi kenyataan apabila konsep suci ini dihayati. Ketaatan kepada pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul merupakan asas utama kejayaan kepada sesebuah persatuan. Betapa penting nilai ketaatan ini disebut oleh Allah SWT di dalam al-quran Firman Allah SWT:

)يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ (

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta Ulil Amri daripada kalangan kamu“ ( al -Nisa’: 59)

Amirul-Mukminin Saidina Umar bin Al-Khattab r.a pula pernah berkata:

“Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah. Tidak ada jamaah melainkan dengan kepimpinan. Tidak ada kepimpinan melainkan dengan ketaatan.”


Ayuh kita dukung prinsip amal jama’ie mentaati keputusan yang diputuskan oleh persatuan untuk kebaikan bersama. Segala usaha dan gerak kerja kita akan memberi faedah bagi Islam dengan cara berjemaah bukan dengan cara bersendirian atau berseorangan. Ayuh mahasiswa sekalian! Kita dukung prinsip wala’ dan amal jama’ie bagi menjulang PERMAYA dan Islam tercinta.


MAHASISWA DU’AT SEBAGAI AGEN PERUBAH


Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah SWT sekelian,


Mahasiswa adalah da’ie penunjuk jalan kepada ummah yang diselubungi kegelapan dan meneranginya dengan cahaya Islam. Tugas mahasiswa bukan hanya duduk di dalam dewan kuliah tetapi adalah lebih daripada itu untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai agen perubah masyarakat.

Mahasiswa adalah pati bagi masyarakat, jika ingin menilai masa hadapan negara, maka lihatlah pada mahasiswa hari ini. Adakah mahasiswa pada hari ini bersedia untuk memimpin ummah pada masa hadapan?

Perubahan adalah sesuatu yang lumrah. Tidak mungkin wujud suatu keadaan yang berjalan secara statik (tetap) di dunia ini, malah yang dikatakan tetap itu sebenarnya adalah gejala perubahan itu sendiri. Falsafah Yunani kuno mengungkapkan; semua makhluk sentiasa berubah, tercipta dan lenyap. Namun kadang kala seseorang itu berpandangan bahawa perubahan sebagai sesuatu yang harus dihindari.

Mentaliti yang penting harus dimiliki oleh mahasiswa adalah “sense of crisis”, iaitu mentaliti yang sentiasa melihat dan mengambil tahu keadaan masyarakat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemaksiatan sangat bermaharajarela dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Begitulah juga dalam sistem sosial dalam negara.

Agama seringkali dianggap sebagai penghias hidup sahaja, sehingga lahirlah cara hidup yang jauh dari nilai-nilai Islam. Timbul seribu satu permasalahan kerana umat terpaksa menjadi hamba sistem ekonomi yang kapitalis, perilaku politik yang pragmatisme dan oportunis, budaya hidup yang hedonis, kehidupan sosial yang individualistik, nilai-nilai agama yang semakin terhakis dan sistem pendidikan yang memacu umat ke arah materialistik.

Dalam dunia kapitalis, roda ekonomi hanya digerakkan untuk meraih keuntungan tanpa menimbang adakah ianya sesuai dengan syariat Islam atau pun tidak. Syariat Islam yang sebenar diketepikan kerana dianggap sebagai pembantut ekonomi.

Sementara itu, politik yang oportunis, ialah aktiviti politik yang tidak berorientasikan untuk mewujudkan kesejahteraan umum, melainkan sekadar meraih kuasa dengan kepentingan yang sempit. Manakala, hedonisme pula merupakan budaya yang dikembangkan sebagai ekspresi pemuas nafsu dan bermegah-megah dengan kebebasan tanpa sempadan yang sama sekali tidak didasarkan kepada syariat Islam. Dalam hal ini dunia Barat telah menjadi kiblat “kemajuan budaya” sebagai sesuatu yang harus dicontohi oleh bangsa lain.

Sementara itu sikap beragama yang liberal juga telah meracuni sebahagian umat Islam sehingga terjerumus ke dalam ideologi yang berpandangan bebas dalam mentafsirkan nas-nas agama. Malah memandang rendah, tidak menyukai dan memusuhi para ulama yang memikul tanggungjawab memelihara syariat Allah ‘Azza wa Jalla.

Akhir sekali, sistem pendidikan yang berwahana materialistik terbukti tidak mampu membentuk manusia yang berakhlak soleh yang sekaligus menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi. Dengan ini lengkaplah kerosakan yang dihadapi oleh umat.

Dalam arus perubahan dunia yang semakin global dan tenggelamnya nilai-nilai kemanusiaan, maka pelbagai usaha diperlukan untuk mengubah aturan peradaban kepada yang lebih baik iaitu dengan mengembalikan segala sistem kehidupan hanya kepada Islam.

Mahasiswa dipandang sebagai pemuda elit yang mempunyai keberanian untuk bersikap tegas. Asas pemikiran Barat yang tidak dibimbing dengan nilai-nilai ruhiyah, merupakan bentuk pemikiran yang tidak patut dipraktikkan oleh mahasiswa muslim. Kebangkitan pemikiran yang benar dan membawa kesejahteraan, adalah konsep berfikir yang dibimbing oleh Zat yang menciptakan manusia, Yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang baik dan sesuai dengan fitrah manusia di dalam kehidupan ini.

Jika tidak, pelbagai gelaran yang gah yang mengangkat martabat mahasiswa hanya merupakan ukuran over estimate terhadap posisi dan peranan mahasiswa dalam dunia realiti. Mahasiswa dikatakan sebagai agen perubahan (agent of change); salah satu elemen yang mengendalikan urusan masyarakat (social control element); himpunan kekuatan moral (composition of moral force); kuasa perubahan politik (force of political changing) dan lain-lain.

Akan tetapi ironinya, kenapa sampai sekarang pergerakan mahasiswa ternyata mandul dalam melakukan perubahan yang sepatutnya?

Jadi, terlebih dahulu mahasiswa harus melakukan revolusi pemikiran. Yang diharapkan daripada revolusi pemikiran ini adalah perubahan mendasar cara berfikir yang menuju ke arah kebangkitan yang sebenar iaitu kebangkitan Islam, bukan mengarah kepada mempertahankan kondisi dan sistem yang sedia rosak.

Oleh kerana itu, keberanian kita untuk berfikir lebih mendasar bukan atas keegoan, kepentingan dan asas kemanfaatan semata-mata. Akan tetapi, memberikan pandangan yang kritis bahawa kita harus melakukan perubahan yang bukan hanya untuk memperbaiki sebahagian sudut kehidupan, tetapi untuk membentuk sistem kehidupan yang kukuh dan sejahtera bagi umat manusia secara keseluruhannya.

Refleksi dari wujudnya keadaan dan sistem hidup yang sejahtera bagi umat manusia dalam segenap aspek kehidupan adalah dengan tertegaknya syariat Islam secara menyeluruh dari sekecil-kecil perkara hingga menguruskan hal ehwal mentadbir masyarakat. Perjuangan yang sama dirintis oleh Rasullullah SAW dan para sahabat yang dalam usia muda. Mudah-mudahan semua mahasiswa yang muda belia ini sedar dan berani melakukannya.


KHATIMAH

Para penggerak agenda ummah yang amat saya kasihi,

Melalui ucaptama ini, saya dengan jelas telah mengemukakan kepada kalian suatu wawasan, gagasan dan tumpuan kita untuk masa mendatang. Secara ringkas, saya telah tekankan kepada kalian segala permasalahan dan krisis yang sedang kita dan umat Islam hadapi pada masa kini. Segala penyakit yang melanda umat seharusnya menyedarkan kita untuk terus berusaha mengislahkan diri, dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk memperbaiki masyarakat dengan segenap kemampuan dan upaya kita. Firman Allah Ta’ala:

) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Al-Syams : 9-10)

Kehebatan umat pada masa lampau adalah hasil dari usaha tarbiah, dakwah dan jihad yang telah digerakkan oleh para pahlawan silam. Asas perjuangan mereka adalah keimanan yang utuh kepada Allah SWT, mengutamakan akhirat dari kehidupan dunia, cintakan mati, serta rela berkorban apa sahaja demi menegakkan kebenaran. Inilah jua asas yang harus kita teladani dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Marilah bersama kita memperbaiki diri. Moga dengan ini kita akan dipermudahkan oleh Allah untuk memimpin masyarakat ke arah pelaksanaan syariat-Nya. Firman Allah Ta’ala:

) وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut : 69)

Sesungguhnya kenyataan hari ini adalah impian semalam, dan impian hari ini adalah kenyataan untuk hari esok. Moga ,visi dan misi ‘Ukhuwwah Manifietasi Keutuhan Ummah’ ini akan dapat direalisasikan bersama. Insya-Allah.

Sekian. Selamat bermesyuarat!

“UKHUWWAH MANIFESTASI KEUTUHAN UMMAH”

Ahmad Bilal Bin Rahudin

Presiden,

Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA)

Sesi 2008-2009

posted by ibnuruhuddin @ 3:26 AM   0 comments
Mesyuarat Agung Tahunan PERMAYA kali ke 12
Wednesday, April 15, 2009

Mesyuarat Agung Tahunan PERMAYA kali ke 12

posted by ibnuruhuddin @ 9:14 AM   0 comments
About Me




:: Nama::
ibnuruhuddin
:: Pengajian Sekarang::
Universiti Yamaniah, Sana'a, Yaman
:: Alamat Malaysia ::
Melaka, Malaysia
Previous Post
Archives
Links
Powered by
Permaya Online

BLOGGER
BOIKOT ISRAEL
© 2006 ibnuruhuddin .Template by .::ibnuruhuddin::.